MADRID - Barcelona memberikan hadiah perpisahan terbaik buat jurulatih Pep Guardiola pada perlawanan terakhir kendaliannya selepas empat musim, apabila gergasi Catalan itu membenam Athletic Bilbao 3-0 untuk menjulang Piala Sepanyol.
Lionel Messi, dengan gol ke-73 musim ini dan jaringan berganda Pedro Rodriguez dalam tempoh hanya setengah jam pertama, sudah memadai untuk mengecewakan pasukan lawan, sekali gus mengecapi trofi ke-14 Barca di bawah bimbingan Guardiola.
Guardiola meninggalkan pasukan yang mana dia pernah menjadi pemain satu ketika dulu dengan tiga kejuaraan liga, dua Liga Juara-Juara, dua Piala Dunia Kelab FIFA dua Piala Super UEFA, tiga Piala Super Sepanyol dan dua Piala Sepanyol.
Kejayaan semalam adalah ulangan kepada kejuaraan sulung yang dinikmati Guardiola sewaktu mengambil alih Barca pada musim 2008-09, yang mana ketika itu juga mereka menewaskan Bilbao 4-1.
Di bawah bimbingan Guardiola, Barcelona tidak pernah tewas kepada Athletic dalam empat musim lalu serta memenangi 10 daripada 15 pertembungan membabitkan kedua-dua pasukan, yang boleh mendabik dada sebagai pemenang terbanyak Piala Sepanyol, dengan Barca juara 26 kali manakala Bilbao 23 kali.
Guardiola, 41, dilahirkan sebuah pekan kecil di Santpedor yang terletak 70 kilometer dari ibu kota Catalan, melahirkan kegembiraan di atas kejayaan tersebut dan meluahkan bagaimana Messi telah memainkan peranan penting sepanjang tempoh dia membimbing Barca.
"14 kejuaraan dalam empat tahun adalah pencapaian bertaraf tinggi. Jadi saya sangat gembira meninggalkan kelab ini dalam keadaan sebaik ini dan malam ini kami bermain dengan hebat untuk 35 minit pertama.
"Kami menamatkan tahun ini dengan empat gelaran, jadi ia membuatkan saya pergi dengan rasa penuh puas hati," katanya. - AFP