Secara umumnya apabila seseorang itu bersolat, pandangan yang harus diletakkan adalah di bahagian bawah seperti memandang sejadah. Namun cara itu berbeza kerana ada juga yang gemar memejamkan mata ketika sedang menunaikan solat walaupun memandang ke bawah.
Pandangan menutup mata ini pernah dibahaskan sebelum ini oleh para ulama mengenainya. Namun, apakah hukumnya jika kita memejamkan mata ketika solat ini? Ikuti ulasan di bawah ini.
Sebahagian ulama mengatakan bahawa memejamkan mata dalam solat adalah makruh hukumnya. Tetapi Imam Ibnul Qayyim mengatakan: Pendapat yang benar ialah, apabila membuka mata itu tidak mengurangi khusyuk maka itulah yang lebih utama, dan jika ada yang mencederakan khusyuk seperti terpandang hiasan-hiasan yang membimbangkan nescaya tidaklah dimakruhkan memejamkan mata bahkan disunatkan. Kita memejamkan mata dalam keadaan itu lebih dekat kepada dasar-dasar syarak dan maksud-maksudnya.
Tujuan solat pada asasnya melakukan pengabdian sepenuh hati dan penuh ikhlas kepada Allah. Sekiranya memejamkan mata adalah merupakan jalan atau cara yang sesuai untuk itu maka lakukanlah, demikian juga sebaliknya.