Kejadian Okultasi Planet Musytari Pada 2.20 Pagi Esok

Fenomena Okultasi 565x376 Fenomena Okultasi Planet Musytari 2.20 Pagi Esok

 

KUALA LUMPUR – Rakyat negara ini berpeluang menyaksikan Okultasi Planet Musytari awal pagi esok bermula pukul 2.20 hingga 3.20 pagi.

Agensi Angkasa Negara (Angkasa) melalui satu kenyataan memberitahu, kali terakhir fenomena itu dilaporkan berlaku pada 23 Februari 2009.

“Fenomena ini membolehkan kita melihat planet Musytari dilindungi oleh bulan selama kira-kira satu jam (bergantung kepada lokasi).

“Untuk makluman keadaan bulan pada malam tersebut berada di dalam fasa Sabit Tua atau Waning Crescent,” kata kenyataan itu hari ini.

 

Foto di atas menunjukkan proses berlakunya okultasi Musytari oleh Bulan pada 23 Februari 2009. Kredit : Shah's Astrophotos/Falakonline.net.

Menurut Angkasa, fenomena itu boleh disaksikan di seluruh Malaysia namun setiap lokasi akan berlaku pada waktu berbeza.

Namun masyarakat di Sabah dan Sarawak dianggap bertuah kerana berpeluang untuk menyaksikan keseluruhan proses fenomena tersebut kerana kebanyakan tempat di semenanjung hanya dapat menyaksikan proses akhir fenomena tersebut.

Tambah kenyataan itu, orang ramai boleh melihat Okultasi Planet Musytari hanya dengan menggunakan mata kasar tanpa memerlukan sebarang peralatan khas.

Maklumat lanjut mengenai fenomena itu boleh diperoleh dengan melayari Portal Pendidikan Sains Angkasa di laman web www.astronomi.angkasa.gov.my.

Sementara itu, Angkasa dalam melalui laman web sama memaklumkan rakyat Malaysia berpeluang menyaksikan kemuncak 60 juraian hujan meteor Perseid awal pagi esok hingga lusa.

 

 

Menurut Angkasa lagi, titik meteor Perseid itu adalah daripada buruj Perseus yang berada di langit Malaysia sejak Julai hingga Mac tahun hadapan.

Bagaimanapun, kata Angkasa, hujan meteor itu hanya boleh dilihat di kawasan yang kurang pencemaran cahaya selain bergantung kepada keadaan cuaca langit malam tersebut.

“Bagi menyaksikan sendiri hujan meteor ini, pandang ke arah timur laut selepas waktu tengah malam,” kata kenyataan itu.

Sumber Gambar_astronomi.angkasa.gov.my

Test Comment

Previous Post Next Post