Qarin ada bersama manusia sejak dilahirkan lagi. - Gambar hiasan
Seseorang Muslim itu perlu yakin akan kekuasaan ALLAH dan tidak menggunakan jalan yang boleh mensyirikkan-Nya. - Gambar hiasan
KEWUJUDAN makhluk halus adalah suatu hakikat yang wajib diyakini setiap manusia yang mengaku beriman kepada ALLAH.
Kewujudan makhluk halus seperti iblis, syaitan, jin dan qarin adalah benar. Islam tidak menolak kewujudannya, malah kewujudannya wajib dipercayai kerana rukun Iman itu sendiri terdiri daripada perkara ghaib yang wajib diimani.
Al-Quran hanya merujuk kepada perkataan jin, iblis, ifrit, qarin dan syaitan. Manakala dalam hadis kita akan melihat penggunaan istilah Ummu Sibyan, Khanzab, Aamir, ‘Ammar, Alwalahan, Mukhannas dan Mukhannathuun. Semua istilah ini merujuk kepada wujudnya makhluk halus yang mengganggu manusia dengan pelbagai cara.
Penggunaan istilah makhluk halus bagi masyarakat Melayu pada hari ini seperti hantu, jembalang, toyol, pelesit dan bunian adalah suatu perkara yang wajib dipercayai dan diimani juga kewujudannya kerana istilah itu merujuk kepada makhluk halus.
Menolak kewujudan mereka bermakna menolak ayat ALLAH dalam al-Quran dan sunnah.
Cara mengatasi adalah mendekatkan diri pada ALLAH. - Gambar hiasan
Siapakah qarin?
Pengamal perubatan Islam, Mohd Hilmi Daud berkata, qarin ialah daripada perkataan Arab yang membawa makna teman atau rakan. ALLAH menyifatkannya sebagai kawan rapat bukanlah bermakna manusia perlu berkawan dengan mereka tetapi qarin adalah jin ciptaan ALLAH yang menjadi pendamping kepada manusia.
“Ia dianggap sebagai “kembar” manusia yang mengiringi kelahiran bayi. Nabi Muhammad SAW sendiri tidak terkecuali didampingi qarin. Bezanya, qarin Rasulullah adalah Muslim. Manakala yang lainnya kafir.
Sabda Rasulullah SAW daripada Abdullah Mas’ud maksudnya: “Setiap kamu ada qarin daripada bangsa jin, dan juga qarin daripada bangsa malaikat.” Mereka bertanya: “Engkau juga ya Rasulullah.” Sabdanya: “Ya aku juga ada, tetapi ALLAH membantu aku sehingga qarin itu dapat ku Islamkan dan hanya menyuruh aku dalam hal kebajikan sahaja.” (Riwayat Ahmad dan Muslim)
“Kewujudan qarin ialah untuk menggoda manusia, menampakkan hal yang buruk elok pada pandangan manusia.Qarin sentiasa mendorong manusia membuat kejahatan. Dia membisikkan perasaan was-was, melalaikan solat dan melakukan maksiat. Malah ia bekerja sekuat tenaga untuk menghalang manusia daripada melakukan ibadah dan kebaikan,” katanya kepada Rehal.
Menurutnya, untuk meneutralkan usaha qarin, ALLAH mengutus malaikatnya mengimbangi kehidupan hamba-Nya di dunia. Malaikat akan membisikkan hal kebenaran dan mengajak membuat kebaikan. Manakala qarin akan menyeru kepada kejahatan dan mengajak kepada kemaksiatan.
Terpulanglah kepada manusia untuk membuat pilihan mengikut pengaruh mana yang lebih kuat dengan bertunjangkan kekuatan iman dalam diri.
Hakikatnya orang Islam mampu menguasai dan menjadikan pengaruh qarinnya lemah tidak berdaya dengan cara bertaqarrub kepada ALLAH, memperbanyakkan berzikir dan membaca al-Quran.
Qarin dan saka sama?
Mohd Hilmi menjelaskan, saka adalah istilah digunakan bomoh tradisional merujuk kepada gangguan spiritual yang berlaku ke atas manusia. Saka dianggap makhluk yang kononnya menjaga seseorang.
Kerana saka itu adalah sejenis makhluk halus yang berkhidmat kepada seseorang (dengan perjanjian yang tertentu) lalu apabila dia mati ‘saka’ (jin tersebut) diwariskan kepada ahli waris (anak cucu beliau). Hasil perjanjian itulah berlakunya masalah gangguan spiritual yang diistilahkan sebagai saka.
“Asalnya saka kononnya dipesan untuk menjaga dan melindungi diri atau anak cucu seseorang, namun berlaku sebaliknya, sehingga menyakiti dan mengganggu menyebabkan keturunan mereka menjadi separuh gila atau separuh sedar.
“Syariat Islam melarang keras bersahabat, berbuat baik, berdamping dengan makhluk halus walau apa jua tujuan,” katanya.
Hayatilah firman ALLAH: “Dan bahawa sesungguhnya adalah (amat salah perbuatan) beberapa orang daripada manusia, meminta perlindungan kepada beberapa lelaki di antara jin, maka jin-jin itu menambah bagi mereka dosa dan kesalahan (Surah Jinn ayat 6)
Ketika jin itu mengetahui bahawa manusia melindungkan diri kepada mereka kerana rasa takut manusia kepada mereka, maka mereka semakin menambah rasa takut dan seram sehingga manusia berasa lebih takut dan lebih bersungguh-sungguh dalam melindungi diri kepada mereka.
Sebagaimana yang dikemukakan Qatadah, jin akan menjadi semakin berani melawan mereka (manusia). (Tafsir Ibn Kathir). Sedangkan qarin pula adalah jenis jin yang lahir bersama-sama manusia (seseorang individu) itu.
Cara melindungi diri dari qarin
Beliau menambah tidak ada kuasa lebih hebat melainkan kuasa ALLAH, itu yang perlu kita sebagai manusia sedar. ALLAH menurunkan pelbagai cara untuk menangani masalah tersebut dalam al-Quran.
“Banyakkan berzikir dan memohon perlindungan kepada ALLAH. Sekiranya kita bersungguh melakukan hal ini, Insya-Allah akan datang perlindungan daripada Sang Kuasa.
ALLAH berfirman: “Apabila syaitan menggoda mu maka mintalah perlindungan kepada ALLAH. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui” (Surah al-A’raf ayat 200)
“Sandarkan diri kepada ALLAH, hanya Dia yang tahu kekuatan dan kelemahan diri kita. Walaupun perasaan takut menyelubungi diri tetapi jika berpegang kepada-Nya, kita pasti tidak akan tersalah langkah,” katanya.
Siti Aisyah menceritakan pada suatu malam Rasulullah keluar dari rumahnya (Aisyah), Aisyah berkata: “Aku berasa cemburu.” Tiba-tiba Baginda berpatah balik dan bertanya: “Wahai Aisyah apa sudah jadi, apakah engkau cemburu?” Aku berkata: “Bagaimana aku tidak cemburu orang yang seumpama engkau ya Rasulullah.” Sabda Baginda: “Apakah engkau telah dikuasai oleh syaitan?” Aku bertanya: “Apakah aku ada syaitan?” Sabda Baginda: “Setiap insan ada syaitan, iaitu qarin.” Aku bertanya lagi: “Adakah engkau pun ada syaitan ya Rasulullah?” Jawab Baginda: “Ya, tetapi ALLAH membantu ku sehingga qarin ku telah masuk Islam.” (Riwayat Muslim)
Ubahlah tanggapan yang mengatakan makhluk halus itu tidak wujud, jika berfikiran sedemikian bermakna kita melakukan satu iktikad yang merosakkan akidah.
Benar kita sudah moden dan masyarakat pada hari ini berpegang kepada ilmu pengetahuan sains semata-mata yang hanya berorientasikan logik akal bahawa sesuatu itu wujud jika ia dapat dilihat atau dirasai.
Jika tidak, bagi mereka sesuatu itu tidak wujud. Menolak ayat al-Quran bermakna kita beriktikad bahawa kandungan al-Quran itu tidak betul. Dengan iktikad ini, kita mencampakkan diri dalam perbuatan tidak beriman kepada ALLAH.-
sumber:sinarharian