PASIR MAS: Selepas empat hari mengambil alih semula tugas mengawal sempadan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) membuat rampasan terbesar membabitkan 398,000 pil kuda dianggarkan bernilai RM8 juta, kelmarin.
Rampasan itu dilakukan sepasukan anggota Batalion Keempat Rejimen Sempadan (RS) berhampiran sebuah pangkalan haram di Rantau Panjang jam 11.15 malam.
Panglima 8 Briged, Datuk Mohamad Zaki Hamzah berkata, kegiatan itu dapat dikesan selepas dua anggota yang melakukan rondaan terserempak dengan seorang lelaki berhampiran pangkalan haram Ibrahim Pencen, di sini.
Katanya, lelaki itu dikatakan memikul dua kotak dan satu guni menuju ke arah sebuah motosikal menggunakan nombor pendaftaran negara jiran.
“Anggota RS yang ternampak pergerakannya mengarahkan dia berhenti serta merta namun lelaki terbabit secara tiba-tiba membuang barangan dibawa lalu terjun ke dalam Sungai Golok.
“Kami tidak memastikan sama ada lelaki terbabit penduduk tempatan atau negara jiran kerana dia terus melarikan diri bagi mengelakkannya ditahan,” katanya.
Hasil pemeriksaan lanjut mendapati terdapat kotak dan 49 bungkusan plastik diisi dalam guni berkenaan yang mengandungi pil berwarna hijau dan merah disyaki pil kuda.
Mohamad Zaki berkata, sebanyak 398,000 pil dirampas dan semua dadah itu dipercayai dibawa ke sini untuk diedarkan dalam pasaran tempatan.
“Ini rampasan terbesar berjaya dilakukan sejak mengambil alih tugas Ops Wawasan empat hari lalu.
“Kami turut merampas motosikal digunakan lelaki terbabit. Semua hasil rampasan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk tindakan lanjut,” katanya.