Hantu Kak Limah 2

Filem Seram


Filem yang berlatarbelakangkan Kampung Pisang cukup sinonim dengan pengarah filem terkenal, Mamat Khalid.

Kali ini, beliau tampil dengan filem ketiga, yang mengekalkan genre komedi seram dalam Hantu Kak Limah 2: Husin, Mon Dan Jin Pakai Toncit.

Selepas Hantu Kak Limah Balik Rumah berjaya mencatat kutipan RM7.9 juta dua tahun lalu, pasti ada yang membanding-bandingkan kesinambungan filem itu dengan Hantu Kak Limah 2.

Namun, Mamat Khalid menegaskan, dia tidak mahu penonton menyaksikan satu lagi Hantu Kak Limah Balik Rumah dalam filem terbarunya itu.

“Harus difaham, saya tidak mahu kita menyaksikan satu lagi Hantu Kak Limah Balik Rumah. Kalau saya mengulang lagi lawak-lawak dan cerita yang sama... kuranglah karya tetapi roh Kampung Pisang, roh komedi itu dikekalkan.

“Saya harap penonton akan rasa ‘sense of belonging’ dengan ‘keluarga’ Kampung Pisang. Apabila dah kenal, saya tak perlu ulang lagi dalam bentuk dialog atau lenggok badan,” katanya dalam sidang media selepas tayangan perdana Hantu Kak Limah 2, semalam.

Kelainan yang diberikan dari segi penceritaan seakan memberi nafas baru kepada kesinambungan filem ini.

Jika dua filem Kampung Pisang sebelum ini mengetengahkan karakter zombie, kali ini Mamat Khalid memberi kelainan dengan menimbulkan karakter jin pakai toncit di mana zombie hanya disebut dalam dialog.

Karakter jin pakai toncit diambil sempena filem Pendekar Bujang Lapok sebagai satu tanda penghormatan kepada seniman agung, Tan Sri P. Ramlee.

“Zombie sudah ada pada filem sebelum ini, kalau yang ketiga ini pun buat zombie, saya rasa memadai hanya dalam dialog,” jelas Mamat Khalid.

Dalam pada itu, karya Mamat Khalid ini masih membuat penonton tak kering gusi dari awal penceritaan filem yang menelan kos RM1.65 juta.

Ketika ditanya tentang kehebatan filem ini di matanya sebagai seorang pengarah, beliau menjawab, Hantu Kak Limah 2 tiada ulangan dan lebih segar.

“Kehebatan filem ini, tiada ulangan. Saya cuba buat lebih segar daripada Hantu Kak Limah Balik Rumah, sebab itu watak Kak Limah minor sahaja dalam filem kali ini.

“Penonton mahukan kelainan... saya takut penonton sudah mula muak, jadi setiap kali itu saya suntikkan kesegaran dalam episod Kampung Pisang,” katanya yang menggunakan 20 peratus teknik janaan imej dalam filem ini.

Sementara itu, ekoran pemergian Zami Ismail atau Pak Uda, Jun tahun lalu yang memegang watak sebagai Pak Abu dalam filem trilogi Kampung Pisang ini nyata tidak tergantikan.

“Tiada siapa yang boleh ganti arwah. Kalau saya nak buat lain pun (filem Kampung Pisang ketiga), saya tidak menggunakan pengganti arwah. Maknanya, karakter lain, cara lain, kalau kata nak ganti arwah, tak mungkin,” katanya.

Mamat Khalid turut memberitahu bahawa 13 krew produksi dimasukkan ke hospital tanpa dikesan sakit yang jelas ketika menjalankan penggambaran di hutan Ulu Kenas, Taiping.

“Krew saya termasuk penolong pengarah dimasukkan ke hospital. Saya tak panik sebab bila dah sampai di set, perkara pertama adalah menghabiskan filem. Apa saja masalah yang timbul, kita tak pandang kerana kita nak habiskan.

“Kami buat penggambaran di tempat yang keras, kami bekerja mengejar masa, jadi saya rasa badan letih dan lemah semangat menyebabkan ia mudah dihinggap benda-benda yang kurang sihat,” katanya yang menjalakan penggambaran sehingga jam 5 pagi di hutan itu.

Menolak untuk memikirkan soal gangguan yang diterima, Mamat Khalid berkata, “saya tak pandang. Kalau nak fikir perkara-perkara ini, tak buat penggambaran di hutan lah jawabnya.”

Test Comment

Previous Post Next Post