Queens Park Rangers (QPR) menewaskan Kelantan 5-0 dalam perlawanan persahabatan yang berlangsung di Stadium Shah Alam.
Skuad bimbingan Mark Hughes itu meraih gol pembukaan menerusi Wright-Phillips, hasil gerakan mengelirukan dengan Adel Taarabt pada minit ke-17.
Dengan memiliki kepantasan dan keupayaan melakukan hantaran-hantaran tepat, ia membuatkan QPR kelihatan selesa dalam permainan.
Pun begitu, permainan dilihat seimbang biarpun Kelantan banyak bermain di kawasan sendiri di separuh masa pertama. Jelas QPR banyak mengatur gerakan menarik dalam kubu Kelantan dengan beberapa kali mencemaskan penjaga gol Shahrizan Ismail.
Kelantan hampir-hampir menjaringkan gol ketika tandukan Indra Putra Mahyuddin melambung tinggi melepasi gawang QPR.
Selepas kemasukan tiga pemain import Mohammed Ghaddar, Zakaria dan Mijo Dadic di separuh masa kedua, Kelantan dilihat lebih bertenaga dan permainan kedua-dua pasukan lebih rancak dan seimbang.
Dalam usaha Kelantan untuk mencari gol pertama, mereka dihukum sekali lagi hasil jaringan Michael Harriman di minit ke-54, selepas pemain itu berjaya melepasi pertahanan Obbina Nwaneri.
Kelekaan pertahanan Kelantan nyata menambahkan derita skuad itu. Dua puluh minit kemudian, Jamie Mackie pula menambah koleksi gol QPR, sebelum Bobby Zamora menjaringkan gol ke-4. Di minit ke-90, Heidar Helguson melengkapkan kemenangan QPR 5-0.
Dua pemain QPR iaitu Taarabt dan Traore dilayangkan kad kuning kerana mengkasari pemain Kelantan.