Meskipun penggambaran Sepah The Movie dilakukan selepas timbulnya kontroversi anggota kumpulan Sepah berpecah, namun penggambaran filem komedi tersebut telah dapat diselesaikan dengan sempurnanya oleh syarikat produksi, PTV Film Productions Sdn Bhd.
Begitupun pengarahnya, MP Roslin MD Sharif berkata, dia terpaksa berhadapan dengan beberapa kesukaran pada permulaan penggambaran filem aksi komedi kerana pada waktu itu anggota kumpulan Sepah sudah membawa haluan diri masing-masing.
“Terus-terang pada awal waktu penggambaran dilakukan di Johor Bahru, memang nampak ketara sangat sempadan di antara mereka. Waktu itu, mereka baru saja umumkan perpecahan mereka. Saya juga boleh lihat ketidakserasian antara mereka dan ia nampak begitu janggal sekali.
“Contohnya apabila saya meminta Mamat berada di posisi tengah-tengah di antara Jep dan Shuib, mereka bagaimana pun gagal mengikut arahan saya. Sebaliknya, Shuib dan Jep tidak mahu berpisah dan Mamat terus berada di tepi Shuib.
“Sebenarnya saya meminta mereka menyusun posisi mereka begitu kerana saya perlu mengikut kemampuan kamera level saya. Namun selepas diterangkan kepada mereka, barulah mereka sanggup berbuat demikian.
“Kehdian, apabila sudah masuk beberapa hari penggambaran, saya sudah nampak sikap profesional mereka ketika menjayakan filem ini dan akhirnya kami berjaya melaksanakannya dengan baik sekali,” katanya kepada murai.com.myketika ditemui di majlis pelancaran filem Sepah The Movie.
Selain Jep, Shuib dan Mamat, Sepah The Movie turut dijayakan oleh pelakon-pelakon lain seperti Anzalna Nasir, Jehan Miskin, Yus Jambu, Shahrul Shiro Rajalawak, Azrul Raja Lawak, Ramona Zam Zam dan ramai lagi.
Selepas dilanda kontroversi yang melibatkan perpecahan kumpulan Sepah, pelakon utama filem tersebut iaitu Anzalna Nasir pula ditimpa kontroversi yang melibatkan pergaduhan serta perang mulut di antara dirinya dengan juara Dewi Remaja 2010, Neelofa.
Sungguh pun begitu, menurut MP Roslin, dia yakin kontroversi yang melanda pelakon-pelakon yang terlibat di dalam filem Sepah The Movie itu tidak akan menjejaskan kutipan filem pertama arahannya sebaliknya dia dan penerbit mensasarkan RM4 Juta kutipan.
“Bagi saya, semua kontroversi itu hanya melibatkan diri mereka masing-masing dan tidak akan memberi kesan terhadap filem ini. Lagipun mereka boleh fikir sendiri dan bersikap profesional dalam kerja masing-masing.
“Saya yakin populariti mereka terutama Anzalna bukan terletak pada kontroversi mereka tetapi bakatnya sendiri yang kini sudah dilihat makin berkembang di dalam industri lakonan tempatan. Lagipun saya dan penerbit sudah cukup bersyukur jika filem ini berjaya mensasar kutipan sebanyak RM4 Juta ,” luahnya lagi.
Filem yang menelan belanja sebanyak RM1.2 Juta ini, mengisahkan tentang ragam tiga lelaki bujang, Jep, Shuib dan Mamat yang obses dengan sukan motor lasak. Konflik persahabatan mereka timbul apabila hadir seorang gadis cantik bernama Ayu Sofea. Bagaimana kesudahannya? Saksikan filem ini yang bakal menjengah pawagam pada 29 November depan.-murai.com