SHAH ALAM - Pelajar Tingkatan Dua Sekolah Menengah Kebangsaan Mergong, Alor Setar di Kedah Sharifah Nurul Aieen Syed Shafulamin akan mewakili Malaysia ke Pertandingan Peringkat Antarabangsa Diari Bergambar Eco di Kyoto, Jepun, November ini.
Sharifah Nurul Aieen, 14, dipilih mewakili negara ke pertandingan anjuran Panasonic itu setelah muncul juara keseluruhan peringkat kebangsaan menewaskan 96 peserta peringkat akhir dari seluruh negara.
Ketua Pengurus Komunikasi Korporat dan Penjenamaan Panasonic Malaysia Azizah Wahid berkata pelajar itu dipilih selepas diari bergambar yang dihasilkan menepati tema tentang isu-isu global alam sekitar dan penyampaian mesej yang berkesan berhubung cara untuk melindungi bumi.
"Pertandingan ini diadakan bertujuan memberi kesedaran dan pendidikan tetang pentingnya menjaga alam sekitar melalui lukisan dan tulisan yang dibuat selama lima hari membabitkan pelajar berumur 10 hingga 16 tahun bagi kategori sekolah rendah dan menengah," katanya selepas majlis pengumuman pemenang pertandingan itu di sini hari ini.
Beliau berkata pertandingan itu yang diadakan pada Julai lepas menerima 3,000 penyertaan dari 31 sekolah di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Johor, Pahang dan Kedah yang menghasilkan diari bergambar tentang pengalaman atau topik berkaitan pemeliharaan bumi.
Azizah berkata pertandingan itu merupakan satu program di bawah Program Pembelajaran Eco Panasonic Kids School bermula pada 2009 di Jepun yang menyasarkan pelajar sekolah di seluruh dunia mengenai kesedaran memelihara dan memulihara alam sekitar.
Sementara itu, Sharifah Nurul Aieen ketika ditemui melahirkan rasa gembira dan terkejut kerana muncul juara keseluruhan sekaligus mewakili negara keperingkat antarabangsa.
Beliau berkata cerita ibunya, Suhaila Md Yusoff, 38, seorang guru mengenai keadaan sungai pada masa dahulu yang bersih serta tidak tercemar menjadi inspirasinya menghasilkan diari bergambar dalam pertandingan berkenaan.
"Ibu cerita kepada saya dahulu air sungai cantik, bersih dan jernih sehingga boleh lihat ikan berenang malah sungai menjadi sumber air untuk mandi manda, namun sekarang suasana itu sukar untuk ditemui," katanya.
Sharifah Nurul Aieen berkata beliau menggunakan konsep 'anime' dan komik untuk berkongsi cerita mengenai pentingnya menjaga alam sekitar yang merupakan khazanah paling berharga untuk generasi akan datang dalam penghasilan diari bergambarnya.
Beliau berkata mesej penjagaan sungai juga akan dikongsi bersama rakan-rakan dari serata dunia pada pertandingan yang akan berlangsung di Jepun itu nanti. - Bernama