Tahniah Ayu Raudhah Hamil Tiga Bulan

image

PENGALAMAN kehilangan kandungan ketika masuk minggu keenam meninggalkan momen pahit buat aktres Ayu Raudhah dan suami, Zaquan Adha yang juga pemain bola sepak kebangsaan, akhir tahun lalu.

Bagaimanapun, kesedihan itu terubat apabila Ayu kini sedang hamil tiga bulan. Mengakui bimbang akan keselamatan kandungannya, Ayu dinasihatkan doktor untuk bercuti bagi menggelakkan kejadian sama berulang.

"Doktor tidak mahu saya mengambil risiko kerana pernah keguguran sebelum ini. Jadi saya diminta untuk bercuti dan tidak boleh membuat sebarang kerja, waima untuk menyapu rumah sekali pun.

"Sejak Ramadan lagi, tawaran memang banyak, tapi saya terpaksa tolak dengan cara baik. Walaupun sekarang rasa dah kuat, tapi saya tidak mahu mengambil risiko lagi. Namun, doktor masih membenarkan saya untuk berjalan-jalan atau bersiar-siar," ujarnya gembira.

Menurut Ayu, ketika di awal minggu kehamilan, dia tidak mengalami sebarang alahan teruk seperti sesetengah ibu mengandung lain.

"Alhamdulillah, saya tidaklah muntah terus sehingga lembik. Ada juga kadangkala, tetapi tidak kerap. Biasanya saya muntah kerana angin dalam badan dan bila dah muntah, saya lega. Malah, sehingga kini saya juga tidak rasa mengidam untuk makan apa-apa. Alhamdulillah, segalanya macam biasa sahaja," katanya.

Ayu berkata, Zaquan adalah individu paling gembira apabila doktor mengesahkan dia sedang hamil ketika itu dan sering bimbangkan isterinya apabila berjauhan.

"Sebenarnya, Zaquan yang alami loya-loya sebelum kami tahu yang saya sedang hamil. Bila diperiksa, barulah dapat tahu saya hamil dan kami memang tidak sabar untuk menimang cahaya mata, Zaquan lebih-lebih lagi.

sekarang ini pun, Zaquan tiada kerana sedang menjalani latihan untuk menghadapi perlawanan dengan Vietnam. Jadi dia perlu tinggal di hotel yang disediakan. Tapi dia tetap akan balik setiap malam menjenguk saya dan saya tidak dibenarkan tinggal sendirian di rumah. Jadi bila dia tiada, dia akan hantarkan saya ke rumah Kak Ta (Rozita Che Wan)," kata pemilik nama sebenar Raudhah Abu Bakar @ Che Wan.

Kemelut tiada kesudahan


Menyentuh mengenai luahan birasnya yang juga aktres, Rita Rudaini di laman Twitter baru-baru ini mengenai dirinya, Ayu berkata, perasaannya sedikit pun tidak terganggu dengan situasi berkenaan.

Katanya, dia merasakan sudah lali dengan satu persatu cerita yang keluar mengenai dirinya dari aktres berkenaan.

"Bagi saya cerita ini bagai tiada kesudahannya. Hari ini keluar cerita ini, esok keluar cerita lain. Saya pun dah malas nak pertahankan diri saya lagi.

"Bila kata begini, pihak lain akan kata begitu. Jadi biarlah dia nak cakap apa pun, asalkan dia puas hati. Saya rasa selagi kami tidak bertemu, selagi itu kemelut ini tiada kesudahan," jelasnya.

Ayu berkata, dia pernah berlakon dengan Rita di awal kariernya dahulu dan Rita yang dikenalinya seorang yang baik.

Katanya, dia kurang jelas mengapa tiba-tiba wujud perseteruan di antara dia dan Rita yang juga isteri kepada Aidil Zafuan sebelum dia mendirikan rumah tangga dengan Aidil.

"Saya tak pernah ada masalah dengan dia sebelum ini dan saya rasa memang tidak pernah ada masalah dengan dia waima pernah bergaduh ke sebelum ini. Cuma sebelum saya berkahwin, tiba-tiba saya terkait dengan hal rumah tangganya.

"Lagipun kami tidak pernah bertemu dan saya juga tidak tahu apa cerita yang disampaikan pihak ketiga kepadanya. Jadi saya tak boleh nak terangkan perkara sebenar.

"Namun seandainya dia terbuka hati untuk berjumpa saya, dan sekali gus dapat menyelesaikan kemelut ini, saya berbesar hati untuk berjumpanya," akuinya.


Berdebar jaya aksi romantis


Menyentuh mengenai karier seninya, filem lakonan pertama Ayu, Untuk Tiga Hari akan menjengah ke seluruh pawagam bermula 20 September ini.

Mengakui teruja dengan tawaran pengarah, Afdlin Shauki untuk berlakon dalam filem berkenaan, Ayu berkata, dia turut merasa berdebar untuk menjayakan beberapa babak romantis melibatkan dia dan Rashidi Ishak.

"Kalau ikutkan dalam skrip, memang tidak diberitahu saya perlu jayakan babak romantis. Tapi bila tiba di lokasi, abang Afdlin terangkan yang dia mahukan satu babak yang romantis.

"Saya akui bimbang menjayakan watak romantis, lebih-lebih lagi dengan suami orang. Malah saya bimbang andai kak Vee (Vanidah Imran) kurang senang dengan lakonan kami.

"Mujur selepas melakukan babak tersebut, Kak Vee datang sendiri berjumpa saya dan memaklumkan dia suka lakonan kami. Akhirnya saya pula yang malu," katanya.

Ayu berkata, biarpun tidak terlibat lagi dengan sebarang penggambaran, masih ada beberapa drama lakonannya yang belum ditayangkan di kaca televisyen.

Selain itu, filem Lagenda Budak Setan 3 lakonannya juga turut akan ditayangkan di pawagam tidak lama lagi.-sinarharian

Test Comment

Previous Post Next Post