HONG KONG - Angka korban tragedi dua bot penumpang berlanggar di Pulau Lamma, Hong Kong lewat malam tadi meningkat kepada 36 orang.
Setakat awal pagi tadi, 25 orang dilaporkan terbunuh.
Salah satu bot membawa 121 penumpang dan tiga anggota krew ke lokasi pertunjukkan bunga api sempena satu perayaan. China mengisytiharkan cuti umum sempena perayaan semalam dan perariran Hong Kong sibuk sebelah malam tadi.
Lebih 40 orang cedera dalam kejadian itu. Operasi mencari dan menyelamat diteruskan hari ini.
Hong Kong Electric, syarikat tenaga wilayah itu, dilaporkan menggunakan bot komersial untuk membawa pekerja dan anggota keluarga mereka untuk menyaksikan pertunjukan bunga api di Victoria Harbour.
Bot itu dan satu lagi, yang dipercayai dikendalikan oleh Hong Kong and Kowloon Ferry, bertembung, menyebabkan bot milik Hong Kong Electric senget dan separuh badan bot itu tenggelam.
Nahas dilaporkan terjadi kira-kira 10.30 malam tadi.
Laporan media menyebut, susulan kerja-kerja mencari dan menyelamat selama beberapa jam, seramai 123 berjaya dibawa keluar dari bot yang senget.
"Daripada jumlah itu, 17 disahkan telah meninggal dunia manakala lapan lagi meninggal dunia ketika tiba di hospital," kata seorang pegawai.