Mengamuk Kerana Ibu Ditembak

Mengamuk Kerana Ibu Ditembak

SUNGAI PETANI - Empat individu termasuk tiga beradik mengaku salah atas semua pertuduhan yang dibacakan terhadap mereka di Mahkamah Majistret Sungai Petani, semalam, berhubung kes rusuhan sehingga menyebabkan kematian seorang penoreh getah, 17 September lalu.


Bagi pertuduhan pertama, keempat- empat mereka mengaku salah kerana menyertai perhimpunan menyalahi undang-undang, selain menggunakan senjata merupakan satu kesalahan yang mungkin boleh menyebabkan kematian.


N Yogaraj, 27, T Kathiravan, 23, T Cheran, 18, bersama seorang suspek masih di bawah umur mengaku salah menggunakan senjata yang boleh mengakibatkan kematian mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan.
Mengikut pertuduhan, empat mereka bersama seorang lagi  yang masih bebas didakwa melakukan kesalahan itu di Ladang Bukit Lembu, Bedong jam 11.30 malam, 17 September lalu.


Sementara itu, ketiga-tiga beradik itu turut mengaku salah atas pertuduhan kedua iaitu melakukan bencana terhadap harta dengan merosakkan cermin tingkap rumah dan beberapa kenderaan.


Kerosakan membabitkan sebuah van, sebuah kereta Honda City dan tiga motosikal di hadapan rumah mangsa, Ananthi Subramaniam, 32, yang mengakibatkan kerugian lebih kurang RM8,000.
Ketiga-tiga tertuduh boleh dihukum mengikuit Seksyen 427 Kanun Keseksaan.


Selain itu, Cheran turut mengaku bersalah atas pertuduhan ketiga iaitu memecahkan cermin tingkap rumah dan merosakkan dua motosikal hingga menyebabkan pengadu terpaksa menanggung kerugian berjumlah RM4,000.
Mengikut pertuduhan, dia bersama seorang lagi masih bebas melakukan bencana itu di hadapan rumah mangsa, Rubawathy Manogaran, 26, yang juga boleh dihukum mengikut Seksyen 427.


Majistret, Mohd Khairul Hafizuddin Ramli menetapkan ter-tuduh yang masih dibawah umur diberi jaminan RM4,000 untuk sebutan semula kes pada 11 November depan bagi mendapatkan laporan akhlak.
Sementara, denda RM2,000 atau empat bulan penjara dikenakan bagi pertuduhan pertama.


Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, tertuduh didenda RM4,000 atau empat bulan penjara.


Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Rehab Abdul Shukur.
Kejadian rusuhan berlaku pada 17 September itu tercetus apabila sekumpulan penjenayah menyerang penduduk Ladang Bukit Lembu sehingga menyebabkan kematian Kalyani Krishnan, 57, yang juga merupakan ibu kepada tiga tertuduh.


Berikutan rasa tidak puas hati akibat kematian ibu mereka, tiga beradik itu kemudian merosakkan harta benda awam milik jiran kerana dikatakan tidak membantu sehingga menyebabkan ibu mereka ditembak penjenayah.

Test Comment

Previous Post Next Post