Liga Super: Johor Memperkena Pemain Baru

johor

SETIAUSAHA Kehormat Persatuan Bolasepak Johor (PBNJ) Suhairi Hashim mengesahkan bahawa mereka telah menawarkan kontrak kepada beberapa pemain bola sepak kebangsaan yang beraksi dengan pasukan kelab dan negeri bagi memperkuatkan pasukan tersebut menghadapi Liga Super musim hadapan.

Beliau berkata, pihaknya masih mengadakan perbincangan lanjut dengan pemain-pemain tersebut yang rata-ratanya mempunyai kontrak bersama pasukan masing-masing sehingga penghujung tahun ini. 


"Sehingga kini, tiada pemain yang menandatangani kontrak secara rasmi untuk bermain bersama kita untuk musim hadapan kerana kita mahu mereka menyelesaikan segala urusan bersama majikan masing-masing terlebih  dahulu," katanya ketika ditemui pemberita pada seminar Liga Malaysia 2013-2016 di Shah Alam, hari ini. 


Media sebelum ini melaporkan bahawa PBNJ berminat untuk mendapatkan khidmat kapten pasukan Selangor Safiq Rahim dan tiga pemain Angkatan Tentera Malaysia iaitu Mohd Azmi Muslim serta pasangan kembar Mohd Aidil Zafuan dan Mohd Zaquan Abdul Razak bagi mewakili pasukan tersebut musim hadapan. 


PBNJ juga dilaporkan turut berhasrat memancing tiga pemain dari juara trebel musim ini Kelantan iaitu penyerang Norshahrul Idlan Talaha, pemain tengah Mohd Nurul Azwan Roya dan pemain pertahanan Daudsu Jamaluddin.  


Dalam perkembangan berasingan, Suhairi berkata, pihaknya telah menghantar permohonan kepada Pesuruhjaya Sukan bagi mendaftar pasukan Kelab Sukan Perbadanan Johor atau Johor FC di bawah pengurusan baharu yang diketuai Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim untuk saingan liga musim hadapan. 


Sebagai rekod, Johor FC ialah sebuah kelab bola sepak berdaftar di bawah PBNJ. 


"Kita sedang bekerjasama dengan pengurusan Johor FC bagi memastikan proses pertukaran pentadbiran ini dapat dilaksanakan dalam masa terdekat ini. 
"Ini selaras d

engan titah Tunku Ismail Idris yang berhasrat melihat pentadbiran pasukan bola sepak Johor diuruskan di bawah satu bumbung sahaja," katanya. 
Beliau berkata, pasukan Johor FC yang bakal dikenali dengan nama Johor pada musim hadapan akan bermain di Stadium Tan Sri Hassan Yunos manakala pasukan Johor FA yang dahulunya dikenali sebagai Johor akan beraksi di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang. 


"Kita memutuskan demikian bagi menjaga kualiti padang dan membolehkan penonton menikmati perlawanan bola sepak dengan lebih selesa," katanya. 
Suhairi berkata Tunku Ismail Idris akan mengumumkan senarai penuh untuk kedua-dua pasukan tersebut pada satu majlis di Johor pada 1 Disember ini. - Bernama

Test Comment

Previous Post Next Post