Pondan Dan Lelaki Indonesia Ditangkap Di Lebuh Chulia

GEORGETOWN - Polis menahan sembilan pondan termasuk empat warga Indonesia kerana berkelakuan tidak senonoh di Lebuh Chulia di sini awal hari ini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Gan Kong Meng berkata kesemua mereka yang berusia antara 22 dan 37 tahun itu ditahan menerusi Ops Noda yang bermula malam tadi.

"Kesemua mereka dipercayai sedang menunggu pelanggan dan telah dibebaskan selepas keterangan mereka direkodkan," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata pondan terbabit ditahan mengikut Seksyen 27 Akta Kesalahan Kecil 1955 kerana berpakaian menyerupai wanita bagi tujuan maksiat yang jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM25 atau penjara 14 hari atau kedua-duanya.

Katanya empat lelaki Indonesia itu turut disiasat mengikut Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63 dan 39 (b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 yang memperuntuk hukuman penjara tidak melebihi enam bulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Gan berkata dalam operasi itu juga polis menahan tujuh wanita rakyat asing berusia 20-an dan 40-an kerana dipercayai menawarkan khidmat seks di sebuah hotel murah di Lebuh Penang di sini.

Katanya, empat daripada mereka adalah warga China, dua warga Indonesia dan seorang wanita Thailand.

Mereka ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 372 (B) Kanun Keseksaan kerana menjalankan kegiatan pelacuran yang membawa hukuman penjara satu tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. - Bernama

Test Comment

Previous Post Next Post