Terkini, 56 Jemaah Haji Malaysia Dirawat DI Hospital Makkah

Jemaah Haji 2012

MAKKAH - Sebanyak 50 jemaah haji Malaysia sedang dirawat di Pusat Rawatan Tabung Haji di Syisyah dan Aziziah di sini, manakala enam lagi dimasukkan ke hospital kerajaan Arab Saudi di sini bagi rawatan lanjut.
Timbalan Ketua Rombongan Haji (Bahagian Perubatan) Dr Mat Ariffin Saman berkata kebanyakan jemaah haji Malaysia yang menerima rawatan itu merupakan penghidap darah tinggi dan kencing manis.


"Selain itu, kita juga mengesan sakit seperti asma, radang paru-paru, penyakit kardiovaskular, perut dan jangkitan pada usus di kalangan jemaah yang menerima rawatan ketika ini," katanya kepada kumpulan media Malaysia yang dibawa melawat ke pusat itu pada Rabu.


Keadaan mereka bagaimanapun dilaporkan stabil, katanya.
Katanya bilangan pesakit yang menerima rawatan di wad sekarang berkurangan berbanding tempoh yang sama tahun lepas dan ini mungkin disebabkan pemeriksaan kesihatan yang lebih ketat oleh Tabung Haji sebelum jemaah berangkat ke Tanah Suci.


Dr Mat Ariffin berkata pusat rawatan Tabung Haji di Aziziah serta Syisya disokong 14 klinik milik Tabung Haji yang bertempat di hotel atau asrama penginapan jemaah haji Malaysia.


Katanya sebuah lagi pusat perubatan sudah beroperasi di Madinah sejak pertengahan September lepas.


Pusat rawatan dan klinik di Mekah ini mempunyai 204 katil dan pusat rawatan Madinah pula mempunyai 24 katil, katanya.


"Kesemua pusat-pusat rawatan itu mempunyai kelengkapan yang cukup tetapi tidak lengkap untuk dikategorikan sebagai hospital dan kes-kes yang berat akan segera dirujuk kepada hospital Arab Saudi di mana kos rawatan akan ditanggung oleh Tabung Haji," katanya.


Pasukan perubatan Tabung Haji di Tanah Suci disokong oleh empat doktor pakar yang diketuai Datuk Dr Abdul Razak, 42 pegawai perubatan, seorang pegawai farmasi, seorang pegawai dietetik, 71 jururawat dan 54 pembantu pegawai perubatan manakala bakinya terdiri kakitangan lain seperti juru x-ray, juruteknologi makmal perubatan dan fisioterapi, katanya.- Bernama

Test Comment

Previous Post Next Post