KOTA BHARU - Seramai 10 anggota bomba cedera dalam operasi memadam kebakaran di sebuah kilang tayar di kawasan Perindustrian Pengkalan Chepa, Padang Tembak, di sini semalam.'
Kejadian jam 8 pagi itu berlaku apabila dua daripada empat tangki silinder yang berada dalam kilang berkenaan meletup dan api menyambar anggota yang sedang dalam proses akhir memadam kebakaran.
Kesemua mangsa yang cedera di bawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II dan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk rawatan.
Pengarah Bomba Negeri, Azmi Osman berkata, dalam kejadian itu lima anggota mengalami kecederaan parah manakala yang lain menerima rawatan susulan di HUSM dan HRPZ II.
“Buat masa ini tiga mangsa yang cedera parah iaitu Nazah Napi, Abdullah Mohamad, Abdul Razak Abdullah yang bertugas di Balai Bomba Kota Bharu ditempatkan di HUSM.
“Selebihnya yang mengalami kecederaan di leher, tangan dan badan menerima rawatan susulan di HUSM dan HRPZ II,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian semalam.
Azmi berkata, ketika kebakaran berlaku lima jentera dengan 39 anggota iaitu dari balai Bomba Kota Bharu, Pengkalan Chepa, dan Darul Naim dihantar ke tempat kejadian.
“Operasi pemadaman berjalan lancar, kebakaran dapat dikawal sepenuhnya tetapi tiba-tiba berlaku letupan daripada tangki minyak silinder itu dan semasa kejadian saya berada di tempat tersebut,” katanya yang tidak mengalami kecederaan.
Buat masa ini, punca kebakaran dan kerugian masih disiasat bagi mengenal pasti punca kejadian terbabit.