SKUAD kebangsaan gagal memanfaatkan peluang beraksi di halaman sendiri apabila sekadar mencatat keputusan seri 1-1 dengan Thailand dalam perlawanan separuh akhir pertama Piala AFF Suzuki di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.
Gol Malaysia dijaringkan oleh Norshahrul Idlan Talaha pada minit ke-48 manakala Thailand menerusi Teerasil pada minit ke-79.
Keputusan ini meletakkan Malaysia di laluan tertekan untuk memburu tiket ke final. Harimau Malaya akan bertandang ke Thailand Khamis ini untuk perlawanan timbal balik.
Pada perlawanan malam ini, sebaik permainan bermula Malaysia lebih agresif dengan beberapa percubaan berbahaya dan seawal minit kelima, kubu skuad Gajah Putih diuji, namun sepakan percuma yang dilaksanakan oleh Safiq Rahim gagal menembusi gawang lawan.
Pada minit ke-12, benteng pertahanan skuad negara pula diuji oleh dua percubaan dari jarak jauh, daripada Adul tetapi tindakan pantas penjaga gol Malaysia, Mohd Farizal Marlias berjaya menafikan percubaan itu.
Hasil serangan balas, skuad Harimau Malaya hampir berada di depan pada minit ke-18, tetapi percubaan Norshahrul Idlan Talaha, yang turut dikenali Mat Yo, gagal mengatasi barisan pertahanan Thailand.
Peluang pertama Thailand hanya hadir pada minit ke-27 menerusi hantaran bahaya Datsakorn, begitu pun berjaya dikeluarkan oleh Mohammad Aidil Zafuan.
Thailand sekali lagi mempunyai peluang membolosi gawang lawan apabila cubaan Anucha memberi bola kepada Datsakorn dari sayap kiri dan Teerasil membuat hantaran pada minit ke-29, tetapi Farizal berjaya menyelamatkan hantaran.
Selepas itu, cubaan Datsakorn mencipta peluang untuk Thailand terus tidak berjaya pada minit ke-44 apabila Aidil menghalang pemain lawan dari mengambil kesempatan.
Selang beberapa minit memasuki babak kedua perlawanan, belum sempat Thailand melakukan asakan, tandukan Mat Yo pada minit ke-49 hasil hantaran Mahali di sayap kiri telah menggegarkan stadium apabila meledak gol pertama buat Malaysia.
Thailand menggandakan asakan. Hantaran Piyapol Bantao dari sayap kanan pada minit ke-55 gagal dikawal rakan sepasukan dan Aidil menyepak bola keluar dari keadaan bahaya.
Mendapat sorokan gemuruh daripada penyokong sendiri, Malaysia sekali lagi berpeluang menambah jaringan gol menerusi percubaan baik oleh Mat Yo, bagaimanapun pasukan tuan rumah gagal ambil kesempatan setelah dipesong keluar oleh Kawin.
Thailand nyata tidak berputus asa apabila terus melakukan serangan, namun Farizal berjaya menepis keluar percubaan Thailand dan tendangan sudut pasukan pelawat itu gagal mendatangkan hasil.
Kelekaan pertahanan Malaysia akhirnya mengundang padah apabila penyerang sensasi Thailand, Teerasil menyamakan kedudukan dengan tandukan baik pada minit ke-79.
Mohd Safee cuba menguji benteng pertahanan Thailand pada minit ke-88, namun kuisannya gagal disambar rakan sepasukan untuk kedudukan tersebut kekal sehingga wisel penamat.