Alen Guc' Pemain Import Baru Kedah

kedah FA

PERSATUAN Bolasepak Kedah (KFA) memperkenalkan import baru dari Croatia bagi memantapkan bahagian serangan pasukan itu yang sebelum ini tumpul.

Alen Guc', 31, yang bermain di kelab NK Solin, Croatia bermain di posisi serangan menggantikan import dari Brazil, Cheyene Santos yang gagal mampamerkan aksi konsisten dalam 10 perlawanan Liga Perdana awal musim ini.

Ketua Jurulatih Kedah, Mario Tot berkata, beliau percaya dengan prestasi Guc' yang menjaringkan 11 gol di kelab terakhirnya untuk separuh musim ini mampu membantu jentera serangan pasukan Hijau Kuning meperoleh kemenangan.

Alen Guc'

"Memandangkan banyak masalah timbul pada 10 perlawanan yang lepas, kelab membuat keputusan untuk menukar penyerang dan berharap Guc' dapat mempamerkan permainan lebih baik daripada sebelum ini.

Kami percaya pemain akan membantu kita kembali semula ke Liga Super tahun depan," katanya pada sidang media pada Majlis Pemain Bertemu Peminat di sebuah pasar raya di sini semalam.

Tot berkata, dengan adanya import baru pasukannya akan cuba mendapatkan mata penuh setiap perlawanan yang berlangsung akan datang.

Sementara itu Guc' yang akan bergandingan dengan Mohd Khyril Muhymeen Zambri berkata, dia gembira kerana dapat bermain dengan pasukan itu yang mempunyai ramai pemain yang bagus.
Katanya, dengan prestasinya bersama pasukannya sebelum ini dia yakin dapat membantu pasukan Kedah membaiki kedudukan dalam Liga Perdana musim ini.

Kedah menduduki tangga keempat dengan 19 mata di belakang Johor FA.

Pada majlis bertemu peminat lebih 100 peminat bola sepak Kedah bertemu dan beramah mesra dengan barisan pemain pasukan itu selama satu jam. - Bernama

Test Comment

Previous Post Next Post