13 Nasihat Rasulullah SAW kepada Saidina Ali

RASULULLAH SAW ada menyampaikan pesanan dan wasiat kepada isteri, anak,   kaum kerabat dan umat Islam seluruhnya. Namun antara wasiat yang  menarik dan boleh  dijadikan  bahan  renungan bersama ialah wasiatnya kepada menantu baginda, Saidina Ali Abu Talib. Sungguhpun  wasiat  itu  khusus  kepada  Ali,  namun  kita  sebagai  Muslim  dan   muslimah, perlu menjadikannya sebagai iktibar lalu menjadikannya amalan.

Larangan  dan  suruhan  Rasulullah  saw  melalui  wasiat  itu,  adalah  juga  untuk  kaum  Muslimin dan muslimat. Malah, boleh dikatakan semua perkara dalam wasiat itu adalah ciri-ciri utama  orang beriman.

Berikut adalah antara wasiat Nabi kepada Ali seperti yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas: Ibnu Abbas meriwayatkan, bahawa Ali Abu Talib berkata:  "Pada hari perkahwinan dengan Fatimah, Rasulullah saw bersabda kepadaku, mengutarakan tiga belas wasiat khusus untukku:"

1. Wahai Ali, takutilah  engkau   daripada   memasuki   tempat  mandi  (hammam)  tanpa  memakai  kain  separas  pinggang.    Bahawasanya   barang   siapa   memasuki   tempat   mandi  tanpa  kain  separas  pinggang,  maka dia mendapat laknat (mal'un).

2. Wahai Ali, janganlah engkau ‘memakai cincin di jari  telunjuk  dan  di jari tengah'.  Sesungguhnya itu adalah apa yang dilakukan oleh kaum Lut.

3. Wahai Ali, sesungguhnya  Allah mengagumi  hamba-Nya  yang  melafazkan istighfar:  "Rabighfirli fainnahu  la  yaghfirul-zunuba  illa  Anta"   ( Tuhanku,  ampunilah  aku.    Sesungguhnya tiada   yang    mengampunkan   dosa  melainkan  Engkau).   Allah lalu berfirman:  "Hai malaikat-Ku, sesungguhnya hamba-Ku ini mengetahui bahawasanya tiada  yang mengampunkan  dosa melainkan Aku. Hai malaikat-Ku: Jadilah saksi, bahawasanya aku telah mengampuni dia".

4. Wahai Ali, takutilah engkau daripada berdusta. Bahawasanya  berdusta  itu  menghitamkan muka dan disuratkan oleh Allah sebagai  kazzab (pendusta).  Dan,  bahawasanya  benar  itu  memutihkan muka dan disuratkan oleh Allah sebagai sadiq.   Ketahuilah engkau,  bahawasanya  sidq (benar)  itu berkat dan kizb (dusta) itu celaka.

5. Wahai Ali, peliharalah diri engkau daripada mengumpat dan mengadu-dumba. Bahawasanya orang berbuat demikian itu diwajibkan ke atasnya seksaan kubur  dan  menjadi  penghalang  kepadanya di pintu syurga.

6. Wahai Ali, janganlah engkau bersumpah dengan nama Allah, sama ada dusta atau benar,  kecuali dalam keadaan darurat, dan janganlah jadikan Allah permainan sumpah engkau. Sesungguhnya Allah tidak menyucikan dan tidak mengasihani orang yang bersumpah dusta dengan nama-Nya.

7. Wahai  Ali,  janganlah  engkau   mencita-citakan  rezeki  untuk  hari  esok.  Bahawasanya   Allah mendatangkan rezeki engkau setiap hari.

8. Wahai Ali, takutilah engkau daripada berbantah-bantah dan  berkelahi  dengan  maki-hamun  dan sumpah-seranah. Bahawasanya perbuatan itu pada awalnya jahil dan pada akhirnya penyesalan.

9. Wahai Ali, sentiasalah engkau bersugi dan mencolek (mencungkil) gigi.   Bahawasanya bersugi itu menyucikan mulut, mencerahkan mata dan diredai Allah, manakala mencolek gigi itu dikasihi malaikat kerana malaikat amat tidak senang dengan bau mulut kerana sisa-sisa  makanan di celah  gigi  tidak dicolek selepas makan.

10. Wahai Ali, janganlah engkau melayani rasa marah.Apabila timbul  rasa marah,  duduklah  engkau dan fikirkanlah mengenai kekuasaan dan  kesabaran  Allah Taala ke atas hamba-Nya.   Pertahankah diri engkau daripada dikuasai kemarahan dan kembalilah engkau kepada kesabaran.

11. Wahai Ali, perhitungkanlah (tahassub) kurniaan Allah yang  telah  engkau  nafkahkan  untuk diri engkau dan keluarga engkau, nescaya engkau peroleh peruntukan daripada Allah.

12. Wahai Ali, apa yang engkau  benci pada  diri  engkau,  maka  engkau  bencikan  juga  pada  diri saudara engkau dan apa yang engkau kasih pada diri engkau maka  engkau  kasihkan juga  pada diri saudara engkau, yakni engkau hendaklah berlaku adil dalam memberi hukuman.   Dengan itu, engkau dikasihi seluruh isi langit dan bumi.

13. Wahai Ali, perbaikkanlah  perhubungan  di antara  penduduk (jiran) sekampung  dan  antara  ahli rumah engkau. Hiduplah dengan mereka  sekaliannya  dengan rasa  persahabatan dan kekeluargaan, nescaya disuratkan darjat yang tinggi bagi engkau.

Wahai Ali, peliharakanlah pesananku (wasiatku). Engkau akan peroleh kemenangan dan kelepasan.

InsyaAllah

Islam pada awalnya asing dan akan kembali terasing, maka berbahagialah kiranya bagi yang terasing.

CREDIT: AIDIL IMRAN

Test Comment

Previous Post Next Post